'Kali ni kau akan dapat balasan kerana memalukan aku dulu, Limah' getus Borhan dalam hati.
"Limah. Cuba tumbuk muka saya," arah sarjan.
Limah menurut saja. Sarjan Borhan menangkis tumbukan itu seraya membalas dengan tendangan padu kat perut.
"Urghhh," Limah mengerang kesakitan.
"Begitu caranya bila ada orang nak tumbuk dari depan. Faham tak?" soal Borhan pada semua pelatih yang menyaksikan demonstrasi itu.
"Faham jan!" jerit pelatih.
Limah hanya mengetap bibir menahan marah. Namun dia perlu patuh pada arahan.
"Sekarang Limah, cuba kau tendang celah kangkang saya. Tempat paling lemah bagi lelaki," ujar Sarjan Borhan.
Halimah menghayun sepakan sekuat hati, namun Sarjan Borhan mengelak dan membalas dengan tumbukan padu tepat mengenai bahu Limah.
"Urghhhh," sekali lagi Halimah mengerang kesakitan.
"Sekarang kamu semua faham kan, bagaimana cara nak elak sepakan penghapus zuriat dan membalas balik serangan itu kan?" tanya Sarjan Borhan pada pelatih.
"Faham jan!" jerit pelatih dengan semangat.
Sarjan Borhan tersenyum puas. Dia dapat membalas dendam dia pada Limah dengan alasan ingin memberikan tunjuk ajar dalam Latihan Tempur Tanpa Senjata.
"Sudahlah Halimah. Kesian pula kat awak asyik kena sahaja. Tukar orang lain. Siapa volunteer nak tampil ke depan ganti Halimah?" soal Sarjan Borhan kepada semua pelatih.
Tiada seorang pun berani mengangkat tangan. Mereka tahu mereka akan jadi punching bag sahaja jika tampil. Pernah mereka lihat rakan dari skuad lain teruk kena belasah dengan Sarjan Borhan.
Saat semua pelatih hanya diam dan berdoa agar tidak dipilih Sarjan Borhan, Halimah mengangkat tangan.
"Tuan, saya nak tanya"
"Apa dia?"
"Tadi Sarjan tunjuk demo bagaimana nak elak, tempis dan balas balik serangan. Masalahnya semua serangan itu sarjan dah tahu saya tuju kat mana. Dalam pergaduhan sebenar, kita tak dapat jangka serangan tu nak datang dari mana"
"Ahhh, sama je. Asalkan asas tu korang kuasai, bila pertempuran sebenar berlaku korang akan dapat atasi musuh juga. Kenapa? Kau tak percaya? Nak cuba sparring betul-betul ke Limah?" soal Borhan dengan sinis.
Soalan Halimah itu seakan memperkecilkan kebolehan dia dan mempertikaikan tunjuk ajar dia.
"Ya jan. Saya nak sparring dengan jan seperti pergaduhan sebenar" balas Limah dengan berani.
"Ok boleh. Tapi kau jangan menyesal kalau kena belasah nanti" balas Borhan dengan berlagak.
Kali ni Borhan nak belasah Limah betul-betul. Masa latihan tadi, dia tak gunakan sepenuh kekuatan. Namun tindakan Limah bagai memperkecilkan dia. Sebagai jurulatih, dia memang rasa tercabar. Pertarungan dimulakan.
"Gedebuk! Gedebak! Dush! Dish! Prakkk!"
Mereka bertarung dengan serius. Para pelatih bahkan jurulatih lain turut sama datang melihat Limah berlawan dengan Sarjan Borhan.
Sungguh mereka tak sangka Limah rupanya handal berlawan tanpa senjata. Borhan sendiri terkejut melihat ketangkasan dan kekuatan Halimah. Limah dapat imbangi pertarungan itu dengan baik.
Banyak serangan dari Sarjan Borhan dapat Limah patahkan dan balas dengan lebih padu. Pusingan awal pertarungan, boleh dikatakan seri.
Pusingan seterusnya, Sarjan Borhan menggunakan semua skill dan kemahiran dia. Dia perlu mengalahkan Limah untuk menjaga air muka dia sebagai seorang jurulatih. Lagi pun, dia lelaki. Malu kalau kalah dengan perempuan.
"Gedebuk! Gedebak! Dush! Dish!"
Sarjan Borhan ditendang Limah sampai tersungkur. Para pelatih bersorak menyokong Limah, jurulatih lain pun memberi sokongan pada Borhan.
Semasa Sarjan Borhan tersungkur, Limah terus menerjah dan menghayun penumbuk paling kuat untuk menamatkan pertarungan ini.
Masa ni Sarjan Borhan tidak mampu membuat apa-apa. Dia hanya memejam mata menanti tumbukan padu Limah menuju ke arah mukanya.
Seinci sahaja lagi tumbukannya nak kena muka Sarjan Borhan, Limah menghentikan serangan itu. Dia tidak meneruskan serangan terakhir itu kerana pemenang telah pun dapat dilihat semua orang.
"Yeahhh! Horeyyy!" bersorak sorai pelatih meraikan kejayaan Limah. Memang sebahagian mereka berdendam dengan Sarjan Borhan kerana selalu membuli mereka.
Limah seolah mewakili mereka untuk membalas dendam pada Sarjan Borhan.
Dan hari itu, sekali lagi maruah Sarjan Borhan tercalar.
**********
Tempoh 6 bulan latihan di Pulapol berakhir. Hari Parade Tamat Latihan akhirnya tiba.
Pelatih berarak dalam Perbarisan Tamat Latihan dan memberikan tabik hormat kepada Ketua Polis Negara dan pegawai berpangkat tinggi yang hadir untuk majlis tersebut.
Selepas itu pelatih membuat demonstrasi kemahiran termasuk simulasi operasi menyelamat, melawan penjenayah bersenjata dan kemahiran teknik tempur.
Persembahan teknik tempur oleh Halimah menarik perhatian para pegawai polis berpangkat tinggi terutamanya pegawai tinggi dari UTK, VAT 69, Unit Gempur Marin, dan pegawai unit risikan Bukit Aman. Masing-masing berhajat Limah akan masuk ke dalam team mereka.
Akhirnya Halimah menerima tawaran untuk menjadi Special Branch Bukit Aman, satu unit elit dalam PDRM yang mempunyai peranan yang sangat penting dalam menjaga keselamatan negara dan kestabilan politik.
Unit ini memerlukan kepakaran dan keupayaan yang tinggi dalam menjalankan operasi risikan yang kompleks, memantau ancaman keganasan, dan menangani aktiviti subversif.
Untuk melayakkan menjadi SB, Halimah dikehendaki menjalani latihan tambahan selama 2 tahun lagi.
********
Halimah menghembuskan nafas panjang, matanya merenung pintu besar yang terukir simbol Polis Diraja Malaysia (PDRM) di hadapannya.
Setelah dua tahun menjalani latihan yang penuh dengan cabaran, kini dia berdiri di ambang sesuatu yang jauh lebih besar.
Sebagai anak kampung, dia tidak pernah menyangka dirinya akan berada di sini, di hadapan ibu pejabat polis yang terkenal dengan segala rahsia dan operasi ketat, Bukit Aman.
"Selamat datang, Halimah. Kami bangga dengan pencapaian kamu. Kini, tugas sebenar bermula," kata DSP Ismail, ketika menyambut kedatangannya.
Halimah dipilih daripada ribuan pelatih lain untuk diserapkan ke dalam Special Branch (SB), unit elit yang sering dipandang tinggi oleh seluruh angkatan polis. Ia bukan satu tugas yang mudah, bahkan sangat berisiko. Namun, Halimah sudah bersedia.
Cita-citanya kini tercapai!
Sewaktu melangkah masuk ke dalam bangunan risikan di Bukit Aman, dia melihat suasana tenang namun penuh dengan ketegangan yang tidak dapat disembunyikan.
Setiap anggota SB yang dilihatnya seolah-olah menyimpan rahsia besar, dan dia kini turut menjadi sebahagian daripadanya. Dia tahu, tugas mereka adalah untuk melindungi negara dengan cara yang tidak banyak orang faham, dengan cara yang seringkali bersembunyi di balik bayang-bayang.
Dua hari kemudian, Halimah memulakan tugas pertamanya. Dia diberi tugasan untuk memantau sebuah kumpulan kongsi gelap yang disyaki menjadi dalang kepada rompakan bersenjata dan penyeludupan dadah antarabangsa.
Semasa diberi taklimat tentang operasi pertamanya ini, Halimah tertarik dengan seorang suspek yang disyaki melindungi kumpulan penjenayah ini. Lebih membuatkan dia geram, suspek itu berpangkat Asisten Superitendan dan menjadi Ketua Balai. Orang mereka sendiri menjadi tali barut aktiviti jenayah.
Nama dan wajah suspek utama itu cukup Limah kenali ; Asisten Superitendan Ghazali!
********
"Tuan nak minum apa?" soal Limah pada AS Ghazali.
"Wahhh. Ada pelayan baru lah kat kedai ni. Cantik manis pula. Siapa nama awak?" soal AS Ghazali.
"Aini tuan. Tuan nak minum apa?"
"Aini, cantik sungguh nama itu. Berapa umur ni? Dah kahwin ke belum," AS Ghazali cuba mengorat.
Pegawai polis lain pakat tersenyum melihat bos mereka bagai ulat naik daun. Mereka kenal benar perangai bos mereka yang gatal dan ramai teman wanita.
Halimah mulai merasa rimas dengan keadaan itu. Dia merasa geram, namun dia perlu terus berlakon agar identitinya tidak terbongkar. Cuma Halimah lega, Ghazali tidak cam dia.
"Saya belum kahwin tuan. Tuan nak minum apa? Cepatlah sikit, ramai lagi pelanggan lain saya kena layan ni," balas Halimah sedikit tegas.
"Amboi, garangnya Aini. Lagi garang lagi saya suka," balas Ghazali diikuti gelak tawa oleh kawan-kawannya.
"Dah la. Kalau tak nak order saya pergi ambil order orang lain lah," jawab Limah mulai marah.
"Alaa, makin cantik bila Aini marah"
Gelak tawa pegawai lain makin kuat membuatkan hati Aini makin geram. Aini pusing ke belakang dan nak beredar. Dia malas nak melayan orang tua yang gatal ni.
"Aini, Aini! Okey, okey. Jangan marah. Saya nak order sekarang," pujuk Ghazali.
"Air apa?" balas Aini mulai meluat.
"Ai love youuuuu," balas Ghazali.
Satu kedai gelak besar. Muka Aini kemerahan menahan marah. Tuan kedai hanya menggelengkan kepala melihat perangai AS Ghazali dan pegawainya yang mempermainkan pekerja baru kedai makan dia.
*