Hampa baca ni..
Dia bukan sebab akal budak2... atau nakal budak2 tu... dia sebab ada yg memanggil dari kolam... benda ghaib ni.. xboleh kita nampak dari mata kasar tapi dia ada.. kena panggil tu yg tgh malam boleh bangun... pastu pi ke kolam tu...
Sebab tu kalau nak pantau anak mandi kolam.. jngan kita ni dok luar kolam... kena masuk Dan sekali duduk dlm kolam tu... sebabnya kalau nak jadi apa2 dengan sekelip mata saja.. tgh pandang anak... tgh tgk tiba2 ja lemas.. banyak yang share pengalaman macamtu.. jgn la pantau di darat turun sekali dlm kolam... jgn percaya mata kita tgk dr jauh..ada kes anak lemas depan mata ayah dia.. nampak macam tgh bergurau... tapi sebenarnya anak tu macam ditarik2 dlm air.. tapi ayah dia nampak anak macam tgh suka2 bergurau... tiba2 kecoh kata ada budak lemas..dalam pool.. tak sempat diselamatkan anak tu meninggal..
Gambar di bawah saya ambil daripada Tiktok Cikgu Ida 1010. Cikgu Ida menceritakan percutian beliau dan family di Thailand baru-baru ini.
Best kan jika bercuti dan kita dapat menginap di tempat yang indah macam ni? Buka pintu sahaja terus boleh berjuntai kaki di dalam air.
Tetapi awas!!!!
Penginapan seperti ini ada malapetaka besar yang menanti jika kita terleka.
Kisah ini terjadi di depan mata saya dan family pada bulan Oktober 2023 yang lalu. Ketika itu kami menyewa di sebuah penginapan indah. Buka sahaja pintu bilik terus ada kolam. Ada lebih kurang 8 bilik yang mengelilingi kolam tersebut.
Suatu malam sekitar jam 1 pagi, saya dan family baru balik ke penginapan setelah berjalan ke sana dan ke sini.
Sebaik sampai anak-anak saya nak makan makanan yang dibeli. Lalu saya mencadangkan supaya kami makan di meja tidak jauh dari kolam sambil ambil angin lewat malam.
Suasana ketika itu sunyi. Hanya bunyi deruman air kolam yang kedengaran sambil ditemani lampu di tepi kolam yang suram.
Ketika sedang makan dan bercerita itu dan ini, tiba-tiba kami perasan ada dua orang budak yang sangat kecil sedang berdiri di hujung kolam.
Abang berumur sekitar 3-4 tahun, manakala si adik mungkin berusia 2 tahun.
Kami perhatikan keadaan sekeliling. Tidak kelihatan ibu bapa mereka di situ. Kedua-dua orang kanak-kanak itu juga kelihatan bercakap bisik-bisik. Kadang-kadang si abang berlari mengintai pintu kamar sebelum datang semula bertemu dengan adiknya di tepi kolam.
Melihat keadaan itu saya sudah tahu mereka berdua curi-curi keluar dari bilik ketika ibu bapa sedang tidur.
Si abang agak bijak. Setiap ketika jarinya diletakkan di bibir sebagai isyarat supaya adiknya jangan bising. Untuk memastikan 'line clear' pula dia sentiasa berlari untuk mengintai ibu bapa dari celahan pintu yang ternganga sedikit.
Kata big boss, kita perhati dulu apa akal mereka.
Saya nampak si abang sedang menghulurkan kaki untuk turun ke kolam dewasa. Baju tidurnya sudah lencun separuh. Sambil turun dia memujuk adiknya untuk terjun bersama.
Tatkala si abang sudah mencampakkan pelampung ke dalam kolam dewasa dan bersedia untuk terjun bersama adiknya saya meluru ke arah mereka. Saya peluk kedua-duanya yang sudah basah lencun. Darah saya berderau amat ketika itu.
Mereka kelihatan terkejut dan ketakutan tatkala diterjah.
Saya tanya, mama mana?
Jawab si abang, mama tidur!
Si adik seperti belum boleh bercakap dengan sempurna lagi.
Ketika itu jam hampir 2 pagi. Saya ketuk pintu bilik mereka yang gelap gelita. Berkali-kali salam saya berikan. Tetapi tidak ada jawapan.
Akhirnya saya buka pintu dan masuk ke dalam rumah. Rupa-rupanya penginapan itu ada dua bilik dan satu ruang tamu.
Saat saya masuk dan teraba-raba mencari suis lampu, pintu bilik dikuak. Seorang lelaki yang masih mamai meluru ke arah saya.
"Ada apa???" tanya lelaki itu cemas.
Ketika itu pintu bilik kedua juga terkuak. Kelihatan seorang wanita tua meluru keluar.
"Kenapa ni????"
"Sekarang jam berapa???" cemas wanita itu menyoal.
"Macam ni. Sekarang jam 2 pagi. Saya jumpa budak berdua ni di tepi kolam!"
"Allahuakhbar!!!!!!!!" jerit ahli keluarga kanak-kanak berdua itu tanda tidak percaya. Tubuh mereka yang basah lencun si ayah peluk dalam dada yang berombak kencang. Si nenek pula mengurut dada sakan.
Dada saya juga berdebar bagai gendang tarian naga yang sedang dipalu rancak.
Pada malam tersebut saya tidak dapat tidur. Saya terbayangkan jika bukan kerana bantuan Allah yang menggerakkan hati saya untuk makan di luar, mungkin ada musibah yang besar akan terjadi di tempat penginapan tersebut.
Bayangkan keesokan pagi tatkala pintu dibuka kelihatan dua kujur tubuh anak-anak kecil itu sudah terapung di dalam kolam.
Kata si bapa, penginapan mereka sudah dikunci. Tetapi anak-anak itu curi-curi keluar ketika seisi keluarga sedang tidur.
Sebelum check out, saya jumpa pemilik penginapan. Saya ceritakan apa yang terjadi. Owner tersebut juga sangat terkejut kerana perkara seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Big boss mencadangkan kepada owner supaya memasang satu lagi kunci keselamatan yang lebih tinggi pada pintu untuk mengelak perkara seperti ini berulang lagi.
Sejak kejadian itu, setiap kali melihat penginapan yang terlalu hampir dengan 'air' seperti dalam gambar di bawah, dada saya akan berdegup kencang.
Terasa trauma yang dilalui masih bersisa hingga ke hari ini.
Jadi, kepada ibu bapa berhati-hatilah. Anak-anak kita yang kelihatan kecil, manja dan tak tahu apa itu sebenarnya punya misi terpendam yang hanya menanti masa untuk dilaksanakan.
Maka beringat-ingatlah walau di mana kita berada.
- Gambar sekadar hiasan -








































