19 November 2025

Saman kepada pihak ketiga yang kacau ganggu rumahtangga

Sehari dua ini viral isu curang yang dasyat melibatkan kepada suami orang dan katanya bini orang. Tapi ada yang menyatakan wanita itu bukan bini orang sebaliknya telah bercerai. Tak kisahlah yang mana satu betul.

Saya nak disclaimer siap-siap, saya tak nak ulas cerita curang ni siapa punca, siapa betul dan siapa salah.

Yang saya nak ulas adalah pertanyaan daripada beberapa orang yang bertanya, “Boleh ke kalau kita nak saman pihak ketiga yang kacau hubungan suami isteri di mahkamah?”

✅ Apakah ada undang-undang berkaitan kacauganggu rumahtangga dalam Islam di Mahkamah Syariah?

Ya, ada. Memang terdapat satu peruntukan undang-undang berkaitan dengan kacauganggu pihak ketiga dalam sesebuah rumahtangga orang Islam di Malaysia.

Di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, individu yang mengganggu keharmonian rumah tangga orang lain boleh berdepan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Hukuman itu diperuntukkan di bawah tiga seksyen enakmen berkenaan membabitkan Seksyen 32 iaitu memujuk lari, membawa pergi atau mempengaruhi seorang perempuan yang telah bersuami supaya meninggalkan rumah tangganya.

Ia turut merangkumi Seksyen 33 iaitu menghalang pasangan yang sudah bernikah dengan sah daripada hidup sebagai suami isteri dan Seksyen 34 iaitu menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan kepada pasangan atau keluarganya.

Hal yang sama juga diperuntukkan di negeri lain seperti di Pulau Pinang mengikut Seksyen 36, 37 & 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

Saya percaya setiap negeri lain juga ada peruntukkan yang sama. Bezanya adalah kedudukan seksyen dan mungkin beberapa ayat yang sedikit berbeza.

✅ Siapa yang boleh Saman pihak ketiga tersebut?

Bila ia melibatkan kesalahan atau jenayah Syariah, maka pihak yang boleh mengambil tindakan saman ini bukan isteri atau suami itu, tetapi pihak Pendakwa Syarie.

Maka, apa yang boleh dilakukan oleh isteri atau suami itu? Mereka hanya perlu membuat aduan kepada pihak Penguatkuasa Agama Pejabat Agama Daerah di tempat yang mereka bermastautin sahaja.

Selebihnya, pihak berkuasa tersebut yang akan membuat Siasatan dan Menyerahkan laporan siasatan kepada pihak Pendakwa untuk membuka kes dakwaan atas kesalahan tersebut jika ada bukti yang cukup dan siasatan yang jelas.

✅ Ada ke kes kacauganggu rumahtangga ini di Mahkamah Syariah?

Setakat pengalaman saya praktis yang baru masuk tahun ke-11 dan segala pembacaan di dalam laporan kes Mahkamah Syariah, tak ada lagi kes jenayah ini dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Bukan sebab tak pernah wujud kes ini. Saya percaya ia ada, tetapi mungkin disebabkan faktor tertentu, kes sebegini tak ada di mahkamah.

Contohnya, mungkin tak cukup bukti atau juga mungkin kehendak suami atau isteri itu sendiri. Misalnya isteri dituduh oleh suami bahawa dia dibawa lari oleh ahli keluarga dan dipujuk untuk cerai. Namun hakikatnya, isteri itu sendiri yang nak lari daripada perkahwinan tersebut atas sebab tertentu.

❤️ Kesimpulan

Jadi, dalam kes yang viral ini, kalaulah persoalannya nak failkan saman supaya pihak yang kacauganggu itu dikenakan hukuman penjara atau apa-apa hukuman lain, ianya dimulakan oleh Pihak Pendakwa Syarie selepas siasatan daripada pihak Penguatkuasa Agama.

Tugas anda hanya buat aduan atau laporan ke Pejabat Agama sahaja. Tak lebih dari itu. Biasanya, jika bab curang ini, saya melihat ia bukan isu kacauganggu, tetapi lebih kepada suka sama suka.

Kalau ada yang menjual, dan dibeli oleh pihak satu lagi, dimana kacauganggu tersebut? Logik bukan?

p/s = Janganlah kita sebarkan aib orang khususnya melibatkan kepada kesalahan antara manusia dengan Allah. Sekalipun semua orang faham ada pihak yang sangat tersakiti, tetapi janganlah dibuka aib yang sebegini. Itu urusan mereka dengan Allah.

Kita yang menyebarkan secara meluas aib orang itu sehingga dikecam satu Malaysia, bimbang Allah akan membuka lebih besar aib kita kelak sama ada di dunia mahupun di akhirat. Ya, kita wajib benci dengan perbuatan zina atau curang ini, cuma haram juga bagi kita menyebarkan aib kesalahan manusia dengan Allah sebegini.

Takut kita merangkak saja mencari orang itu untuk mintak maaf di Padang Masyar yang dasyat kelak.


Wallahualam

Fahmi Ramli
Peguam Syarie

Anda ada pertanyaan? Boleh tanya disini

wasap.my/60197372389/NakTanyaSikit

12 November 2025

Curang Bukan Satu Kesilapan — Ia Adalah Keputusan





Curang bukan hasil kekhilafan. Ia adalah keputusan yang dibuat dengan penuh kesedaran — keputusan untuk mengkhianati seseorang yang pernah memberikan sepenuh kepercayaan dan kasih.

Ia bukan tentang nafsu, bukan kekeliruan, dan bukan juga “kelemahan sesaat.” Ia sebenarnya menggambarkan nilai diri sebenar seseorang apabila berdepan pilihan antara kejujuran dan kepura-puraan.

Kerana hakikatnya, tiada siapa yang “terlanggar” katil orang lain secara tidak sengaja, atau “tersilap” menghantar mesej berbaur godaan. Setiap perbuatan itu bermula daripada satu perkara — pilihan. Pilihan untuk setia, untuk berterus terang, atau untuk berundur dengan hormat.

Apabila seseorang memilih penipuan berbanding kejujuran, itu bukan kelemahan kamu. Itu kelemahan mereka — kelemahan disiplin, integriti, dan kematangan emosi.

Mereka boleh menyalahkan keadaan, mengungkit rasa terabai, atau menggunakan alasan seperti “emosi tidak stabil” dan “kurang perhatian,” namun kebenarannya tetap satu — mereka memilih pengkhianatan daripada komunikasi.

Kerana hati yang benar-benar setia tidak akan mencari ruang untuk curang. Walau sebesar mana ujian datang, hati yang teguh akan tetap mempertahankan apa yang dicintai. Kesetiaan sejati tidak diukur ketika segalanya indah, tetapi ketika godaan datang — dan kita masih memilih hormat, bukan kebodohan.

📌 Jadi, apabila seseorang mengkhianatimu, jangan persoalkan nilai dirimu. Jangan tanggung beban atas keputusan yang bukan milikmu. Pengkhianatan mereka tidak pernah mencerminkan siapa kamu, tetapi sepenuhnya mencerminkan siapa mereka.

Kerana cara seseorang memperlakukanmu adalah refleksi nilai dirinya — bukan ukuran harga dirimu.

09 November 2025

Individu yang Pernah Curang Berisiko Tiga Kali Ganda untuk Mengulanginya


Kajian Menunjukkan : 


Fakta Psikologi dan Tingkah Laku Tentang Kecurangan dalam Hubungan


1. Kecanduan terhadap sensasi kecurangan.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Sex Research (2018) mendapati bahawa perbuatan curang sering dikaitkan dengan peningkatan hormon dopamin — hormon yang memberi rasa “ganjaran” atau keseronokan segera. Ini menjelaskan mengapa sesetengah individu boleh menjadi ketagih terhadap sensasi dan debaran yang datang bersama perbuatan tersebut.


2. Kebarangkalian untuk mengulangi kesilapan lebih tinggi.

Berdasarkan penyelidikan dalam Archives of Sexual Behavior (2017), individu yang pernah berlaku curang mempunyai risiko tiga kali ganda untuk mengulanginya berbanding mereka yang tidak pernah melakukannya.


3. Kebolehan manipulasi yang tinggi.

Individu yang terbabit dalam kecurangan biasanya sudah terbiasa menyembunyikan kebenaran, menutup jejak, dan mengubah naratif. Lama-kelamaan, kemahiran ini boleh menjadikan mereka mahir dalam “bermain dua peranan” secara psikologi.



Fakta Lanjutan Tentang Implikasi Kecurangan


4. Penurunan empati terhadap pasangan.

Apabila pengkhianatan menjadi kebiasaan, pelaku cenderung untuk menormalkan kesakitan yang mereka sebabkan, lalu menjadikan empati terhadap pasangan semakin pudar.

5. Kecenderungan membentuk dua personaliti.

Di hadapan pasangan rasmi, mereka mungkin tampil penyayang dan berperibadi mulia, namun di belakang, menjadi individu yang berbeza. Keadaan ini menjadikan identiti emosi mereka sukar dikenali dan tidak konsisten.

6. Trauma boleh diwarisi kepada generasi seterusnya.

Kajian keluarga menunjukkan bahawa anak-anak yang membesar dalam persekitaran yang menyaksikan pengkhianatan ibu bapa berisiko mengalami isu kepercayaan dan ketidakstabilan emosi dalam hubungan dewasa kelak.

7. Perubahan persepsi otak terhadap cinta dan komitmen.

Otak mula mengaitkan cinta bukan lagi dengan keintiman dan kejujuran, tetapi dengan sensasi, rahsia, dan penipuan. Ini menjelaskan mengapa sesetengah pelaku sukar kembali setia walaupun menyesal.

8. Mentaliti ‘kebal daripada sistem’.

Sebahagian individu yang curang mempunyai keyakinan bahawa mereka tidak akan ditangkap. Pemikiran ini berbahaya kerana ia menggalakkan tindakan berisiko tinggi dan menormalisasi penipuan.

9. Corak psikologi yang sukar diputuskan.

Beberapa penyelidikan mengaitkan kecurangan dengan sifat narsistik, impulsif, serta keperluan mendalam untuk pengesahan diri. Tanpa kesedaran dan usaha pemulihan, corak ini berpotensi berulang.

10. Kesan terhadap diri sendiri lebih besar daripada yang disangka.

Kecurangan bukan sahaja merosakkan hubungan, tetapi juga kestabilan diri — termasuk rasa bersalah berpanjangan, tekanan emosi kerana menyimpan rahsia, serta risiko kesihatan seperti jangkitan penyakit kelamin. Dalam banyak kes, pelaku akhirnya merosakkan diri sendiri sebelum menyedarinya.

Kesimpulan

Kecurangan bukan sekadar pengkhianatan terhadap pasangan — ia adalah proses yang perlahan-lahan membina “raksasa dalam diri” individu itu sendiri. Sekali pintu itu terbuka, menutupnya semula memerlukan tahap kesedaran yang tinggi, keberanian untuk jujur, dan usaha berterusan untuk berubah.

#PsikologiHubungan #IntegritiEmosi #TanggungjawabPeribadi #PembangunanDiri #KesedaranEmosi #HubunganSihat #KecerdasanEmosi

.
.
.

05 November 2025

𝐃𝐚𝐭𝐚𝐧𝐠 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐦𝐞𝐫𝐚𝐰𝐚𝐭, 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩𝐢 𝐛𝐞𝐥𝐢𝐚𝐮 𝐩𝐮𝐥𝐚 𝐝𝐢𝐫𝐚𝐰𝐚𝐭


Benar, akhlak & kata-kata indah adalah penarik

Daripada Sayyiduna Ibn Abbas رضي الله عنهما berkata: 

“Telah datang seorang lelaki dari Bani Azdi Syanuah yang dipanggil sebagai Dhimad untuk mengerjakan umrah di Mekah, lalu beliau mendengar kafir Quraisy mengatakan: “Muhammad itu gila”. 

Beliau terkenal sebagai orang yang merawat lalu ia mengatakan:

 “Alangkah baiknya jika aku bertemu dengan lelaki itu lalu aku merawatnya”.

Ini kerana sifat beliau yang tidak boleh mendengar khabar tentang seseorang yang gila, pasti ia bersegera pergi untuk merawat. Apabila dibawa bertemu dengan Baginda Nabi ﷺ, lalu beliau mengatakan:



 “Wahai Muhammad, aku berubat menggunakan angin, jika engkau mahu aku rawati engkau, moga Allah  memberi manfaat kepada engkau”. Lalu Baginda Nabi ﷺ mengatakan: 

إنَّ الحَمْدَ لِلّه نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ، مَن يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، أَمَّا بَعْدُ.

((Sesungguhnya pujian hanya kepada Allah, kita memuji dan meminta pertolonganNya, barangsiapa yang diberi hidayah oleh Allah, maka tidak akan disesatkanNya, barangsiapa yang sesat maka tiadalah hidayah (petunjuk) baginya. 

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya, dan sesungguhnya Muhammad itu hamba dan pesuruhNya, Amma Ba`du))

Dhimad berkata: “Ulangi semula perkataan kamu ini”. Kerana ucapan indah sebegini belum pernah ia dengari.

 Maka, Baginda ﷺ pun mengulanginya sebanyak tiga kali. 
          
 Dhimad berkata: “Aku telah mendengar kata-kata tukang
 tilik, ahli sihir dan para penyair, dan belum pernah aku mendengar ucapan sedemikian. Dan sungguh aku sudah terpegun dengan ucapan ini.”

Beliau terus memeluk Islam lalu mengatakan: “Berikan tanganmu untuk aku berbaiah Islam denganmu”. Lalu beliau pun berbaiah. Kata Baginda Nabi ﷺ:

عَلَى قَوْمُكَ 

((Berbaiah juga untuk kaum engkau))? Jawabnya: “Ya untuk kaumku juga”.  

📒 Petikan dari Sohih Muslim, Tobaqat Kubor oleh Ibnu Saad

🟢 Suatu keajaiban 

Beliau ingin merawat Baginda, tetapi Baginda ﷺ telah merawatnya terlebih dahulu melalui kalam indah Baginda. 

Lihatlah akhlak dalam berbicara dan percakapan yang telah ditunjukkan oleh Baginda Nabi ﷺ, menyebabkan hati manusia tertarik lalu memeluk Islam. Benarlah sabda Baginda Nabi ﷺ:

إِنَّ مِنَ الْبَيَانِ لَسِحْرًا 

((Sesungguhnya dari sebahagian kata-kata itu adalah sihir)) -iaitu yang menarik seseorang ke arahnya.

📝 Petikan buku: Cinta Nabi ﷺ 
99 Kisah Cinta

Ajarkan diri dan anak-anak cinta kepada Nabi ﷺ 

01 November 2025

SAH BELUM PUAS: Memahami Isyarat Emosi Isteri dalam Hubungan Suami Isteri


Dalam institusi perkahwinan, keintiman suami isteri bukan sekadar hubungan fizikal semata-mata, tetapi turut melibatkan kesejahteraan emosi, rohani dan batin. Ramai isteri tidak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka secara terbuka kerana sifat malu atau tidak mahu menyinggung perasaan suami. Namun, bahasa tubuh dan tingkah laku mereka sering kali menjadi isyarat halus yang perlu diberi perhatian.

Islam mengajarkan bahawa hubungan suami isteri adalah satu bentuk ibadah. Nabi Muhammad SAW bersabda:

> “Dan pada kemaluan salah seorang kamu itu ada sedekah.
( Riwayat Muslim )



Ini menunjukkan bahawa setiap aspek hubungan suami isteri yang dilaksanakan dengan niat yang benar dan penuh kasih sayang adalah berpahala di sisi Allah SWT. Oleh itu, suami perlu memahami bahawa kepuasan isteri bukan sekadar keperluan jasmani, tetapi juga emosi dan spiritual.

Lima Petanda Isteri Belum Mencapai Kepuasan Batin

1. Menjadi Terlalu Rajin Secara Tiba-Tiba

Ada isteri yang meluahkan tekanan batin melalui kerja rumah — membersih, mengemas, atau melakukan aktiviti fizikal tanpa henti. Ia bukan tanda kebahagiaan, tetapi cara tubuh dan mindanya melepaskan tekanan akibat ketegangan emosi yang tidak terluah.

2. Menjauhkan Diri Selepas Bersama

Apabila isteri terus bangun selepas bersama tanpa pelukan atau bicara mesra, ia mungkin tanda hatinya tidak tenang atau masih ada rasa kurang puas. Sentuhan selepas bersama merupakan bentuk komunikasi tanpa kata yang menenangkan jiwa.

3. Emosi Mudah Tersentuh

Isteri yang tidak mencapai kepuasan batin cenderung mudah tersinggung, cepat marah, atau murung tanpa sebab jelas. Emosi yang tidak stabil ini sering berpunca daripada kekosongan hati yang belum diisi dengan kasih dan perhatian.

4. Kurang Komunikasi dan Interaksi

Bila isteri mula pendiam, menjawab sepatah-sepatah, atau tidak lagi manja seperti dahulu, itu mungkin tanda kekecewaan yang dipendam. Komunikasi terbuka dan penuh kasih sayang amat penting untuk memulihkan hubungan.

5. Menolak atau Enggan Bersama

Apabila rasa tidak puas berlarutan, isteri mungkin mula menolak hubungan intim. Bukan kerana tidak mencintai suami, tetapi kerana keletihan emosi akibat kekecewaan yang tidak pernah disembuhkan.


Kesimpulan : Kunci Keintiman Sejati

Suami yang beriman perlu memahami bahawa kepuasan isteri bukan sekadar aspek fizikal, tetapi keseimbangan antara kasih, sabar dan tanggungjawab. Rasulullah SAW sendiri mencontohkan bagaimana baginda berlemah lembut dan memahami keperluan isteri-isterinya dengan penuh hikmah.

Apabila isteri benar-benar puas dan dihargai, wajahnya berseri, hatinya lembut dan kasih sayangnya bertambah. Namun, apabila hatinya kosong, emosi menjadi celaru dan hubungan menjadi hambar. Oleh itu, belajarlah mendengar dengan hati, bukan hanya dengan telinga. Itulah kunci keintiman sebenar dalam rumah tangga yang dirahmati Allah SWT.

.
.
.

Buktikan Pernyataan Berikut - Gaji Mula, Gaji Pencen, Potongan KWSP, Tunai vs Emas

kalaulah para menteri berminda emas, wang kwsp kita boleh je diasetkan kepada jumlah gram emas dah setiap tahun beranak pinak,  p malangnya,...