Benar, akhlak & kata-kata indah adalah penarik
Daripada Sayyiduna Ibn Abbas رضي الله عنهما berkata:
“Telah datang seorang lelaki dari Bani Azdi Syanuah yang dipanggil sebagai Dhimad untuk mengerjakan umrah di Mekah, lalu beliau mendengar kafir Quraisy mengatakan: “Muhammad itu gila”.
Beliau terkenal sebagai orang yang merawat lalu ia mengatakan:
“Alangkah baiknya jika aku bertemu dengan lelaki itu lalu aku merawatnya”.
Ini kerana sifat beliau yang tidak boleh mendengar khabar tentang seseorang yang gila, pasti ia bersegera pergi untuk merawat. Apabila dibawa bertemu dengan Baginda Nabi ﷺ, lalu beliau mengatakan:
“Wahai Muhammad, aku berubat menggunakan angin, jika engkau mahu aku rawati engkau, moga Allah memberi manfaat kepada engkau”. Lalu Baginda Nabi ﷺ mengatakan:
إنَّ الحَمْدَ لِلّه نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ، مَن يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، أَمَّا بَعْدُ.
((Sesungguhnya pujian hanya kepada Allah, kita memuji dan meminta pertolonganNya, barangsiapa yang diberi hidayah oleh Allah, maka tidak akan disesatkanNya, barangsiapa yang sesat maka tiadalah hidayah (petunjuk) baginya.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya, dan sesungguhnya Muhammad itu hamba dan pesuruhNya, Amma Ba`du))
Dhimad berkata: “Ulangi semula perkataan kamu ini”. Kerana ucapan indah sebegini belum pernah ia dengari.
Maka, Baginda ﷺ pun mengulanginya sebanyak tiga kali.
Dhimad berkata: “Aku telah mendengar kata-kata tukang
tilik, ahli sihir dan para penyair, dan belum pernah aku mendengar ucapan sedemikian. Dan sungguh aku sudah terpegun dengan ucapan ini.”
Beliau terus memeluk Islam lalu mengatakan: “Berikan tanganmu untuk aku berbaiah Islam denganmu”. Lalu beliau pun berbaiah. Kata Baginda Nabi ﷺ:
عَلَى قَوْمُكَ
((Berbaiah juga untuk kaum engkau))? Jawabnya: “Ya untuk kaumku juga”.
📒 Petikan dari Sohih Muslim, Tobaqat Kubor oleh Ibnu Saad
🟢 Suatu keajaiban
Beliau ingin merawat Baginda, tetapi Baginda ﷺ telah merawatnya terlebih dahulu melalui kalam indah Baginda.
Lihatlah akhlak dalam berbicara dan percakapan yang telah ditunjukkan oleh Baginda Nabi ﷺ, menyebabkan hati manusia tertarik lalu memeluk Islam. Benarlah sabda Baginda Nabi ﷺ:
إِنَّ مِنَ الْبَيَانِ لَسِحْرًا
((Sesungguhnya dari sebahagian kata-kata itu adalah sihir)) -iaitu yang menarik seseorang ke arahnya.
📝 Petikan buku: Cinta Nabi ﷺ
99 Kisah Cinta
Ajarkan diri dan anak-anak cinta kepada Nabi ﷺ

0 Comments