Tahniah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis


Salam semua
Barakallahufeekum


MESYUARAT KHAS JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS 
20 SEPTEMBER 2024

FATWA BERKAITAN GISB HOLDINGS SDN. BHD.

Setelah menerima bukti-bukti berkaitan GISB Holdings Sdn. Bhd. yang meyakinkan pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, maka jawatankuasa memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn. Bhd.  mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah. Ia juga adalah kesinambungan dari ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.  

Setelah Jawatankuasa berbincang maka perkara-perkara berikut diputuskan :-


SEBAB NILA SETITIK



HABIS JAHANAM SATU BENUA



1. Pegangan kumpulan GISB Holdings Sdn. Bhd.  yang mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan pemimpin atau tokoh agama setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat. Kesan dan akibat daripada pengkultusan itu: 

1.1 Melahirkan ketaksuban yang melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama sekalipun jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah. 

1.2 Mengikut secara membuta tuli dan mematuhi arahan pemimpin atau golongan agama sekalipun bercanggah dengan ajaran Islam.

1.3 Mengambil keberkatan secara melampau dari sisa tubuh-badan pemimpin mereka. 

1.4 Mengaitkan pemimpin mereka yang dikultuskan dengan unsur-unsur yang dapat menjustifikasikan tindakan-tindakan mereka yang salah dengan menggunakan nama Imam Mahdi, jelmaan Rasulullah, karamah wali, keberkatan dan seumpamanya.

1.5 Mempercayai pemimpin mereka yang sudah mati masih hidup dan masih dapat memberi panduan kepada mereka. 

1.6 Mewujudkan hukum-hakam syarak yang baharu untuk menjustifikasikan aktiviti mereka yang bercanggah dengan syarak iaitu hukum-hakam solat, pernikahan (munakahat) dan juga muamalat.



2. Setelah meneliti cara pengoperasian aktiviti ekonomi GISB Holdings Sdn. Bhd, Jawatankuasa menyimpulkan bahawasanya model ekonomi yang diamalkan bukanlah model ekonomi Islam yang sebenar, bahkan ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam. Ini kerana ia mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

3. Dengan ini segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISB Holdings Sdn. Bhd.  adalah dilarang. 

4. Jawatankuasa juga mencadangkan masyarakat Islam membantu pemulihan ahli-ahli GISB Holdings Sdn. Bhd.  yang ingin keluar dari kesesatan ini. Peruntukan zakat juga boleh digunakan untuk membantu pemulihan mereka seperti pembiayaan pendidikan yang betul, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman yang mempunyai kaitan untuk pembebasan diri dari GISB Holdings Sdn. Bhd.  dan pembiayaan dakwah pemurnian akidah. Peruntukan zakat di bawah fi sabilillah, al-riqab dan fakir miskin boleh digunakan untuk tujuan ini.


5. Sekolah yang mempunyai manhaj pengajian Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar hendaklah membantu mengambil anak-anak GISB Holdings Sdn. Bh.  ini untuk diberikan pendidikan yang sepatutnya. 

6. Badan-badan swasta juga boleh membantu untuk memberi peluang pekerjaan supaya mereka dapat hidup seperti masyarakat Islam yang lain. 

7. Masyarakat Islam seluruhnya hendaklah mengambil sikap positif dalam usaha membantu bekas-bekas ahli GISB Holdings Sdn. Bhd.  untuk keluar dari belenggu kesesatan tersebut. 

8. Dalam masa yang sama semua pihak hendaklah sama-sama memantau bagi memastikan mereka tidak kembali kepada ajaran sesat tersebut.

Tahniah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis



Post a Comment

0 Comments