mengenai penggunaan istilah “type-C” oleh admin laman Facebook DarSA Fried Chicken (DFC) telah menjadi perhatian utama dan tular di media sosial

KENYATAAN MEDIA 
Jumaat 10 Mei 2024 
                                                               
DarSA Fried Chicken (DFC) Komited Terhadap Penambahbaikan Berterusan dan Menghargai Sokongan Pelanggan

KUALA LUMPUR, 10 Mei 2024 – DarSA Fried Chicken (DFC) mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan dan orang ramai atas segala komen, maklumbalas, dan  cadangan yang telah dikongsikan menerusi platform media  sosial Facebook. Kami berusaha untuk membuat penambahbaikan berterusan pada perkhidmatan dan menu kami untuk meningkatkan kepuasan & keselesaan pelanggan. Dari hari pembukaan sehingga kini, kami telah meningkatkan jumlah staf yang bertugas dari 20 orang sehari kepada 30 orang sehari dengan setiap shif dijalankan oleh 15 orang. Kami juga akan memberikan  latihan berkala kepada staf kami untuk meningkatkan kualiti layanan mereka kepada pelanggan. 

DFC mengambil maklum pandangan pelanggan mengenai harga menu set kami. Sebelum penetapan harga, kami telah melakukan kajian terperinci dan mendapati harga set menu kami lebih rendah  hampir15 peratus berbanding dengan pesaing kami khasnya dari  syarikat makanan segera jenama antarabangsa. Kami percaya harga yang ditetapkan adalah wajar dan mesra pelanggan, walaupun  ketika ini menghadapi situasi kenaikan harga barangan dan kos penyediaan yang tidak menentu. 

Beberapa hari yang lalu, isu mengenai penggunaan istilah “type-C” oleh admin laman Facebook kami telah menjadi perhatian utama dan tular di media  sosial. 

Kami mengambil isu ini dengan serius dan ingin menjelaskan bahawa individu tersebut tidak memiliki  latihan  atau pengalaman dalam mengendalikan media  sosial. 

Tindakan tersebut tidak mencerminkan pandangan atau nilai-nilai yang dipegang oleh DFC. Sebagai tindakan tegas, pengurusan tertinggi telah memutuskan untuk memindahkan individu tersebut ke bahagian lain. 

Kami amat menyesali kejadian ini dan mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan yang berlaku, serta memohon maaf kepada semua yang terkesan mahupun terguris hati. Kami berjanji bahawa insiden seperti ini tidak akan berulang di masa depan.

Sebagai tindakan proaktif, kami telah membentuk satu pasukan yang berpengalaman untuk menguruskan dan memastikan pengurusan komunikasi dan media  sosial yang lebih berkesan. Pengurusan tertinggi DFC akan melakukan pemantauan yang lebih ketat terhadap semua kandungan, maklum balas, dan komen yang dihasilkan oleh pasukan ini. 

Setiap hantaran dan maklumbalas harus terlebih dahulu mendapat kelulusan dari pengurusan tertinggi sebelum disiarkan, untuk memastikan kesesuaian dan kepatuhan terhadap standard etika kami.

Kami juga ingin menegaskan bahawa DFC menolak sebarang tuduhan yang mengaitkan  kami dengan isu perkauman atau keagamaan dan kami tidak membeza-bezakan pelanggan kami. Sebagai  syarikat milik 100% Bumiputera, kami terharu menerima sokongan dari semua lapisan masyrakat & kaum di Malaysia. Komitmen kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi adalah selaras dengan semangat perpaduan dan saling menghormati, yang merupakan asas konsep Malaysia Madani. 

Sekali lagi, terima kasih atas sambutan luar biasa sejak pembukaan kami. Sebagai tanda penghargaan, DFC akan membuka cawangan kedua di Lembah Klang dalam beberapa bulan akan  datang. Maklumat lanjut akan diumumkan menerusi media  sosial rasmi kami.

Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk sebarang kolaborasi perniagaan. Selain itu, besar harapan DFC untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia khususnya kepada mereka yang telah kehilangan pekerjaan.

Sokongan daripada pelanggan dan rakyat Malaysia sangat kami hargai supaya lebih banyak penambahbaikan dan kualiti perkhidmatan dapat dilakukan seterusnya membawa DFC menjadi satu jenama tempatan yang mampu menerokai dan bersaing di pasaran global.


Untuk maklumat lanjut, hubungi:
Ustaz Mohammad Faiz Zuhdi – CEO DarSA Group Sdn Bhd 
Telefon     : 014-2709 592 (Hotline) 
E-mel : dfcbukitberuntung@gmail.com
Alamat : No. 1 Jalan Adenium 1A, Bukit Beruntung 48300 Rawang, Selangor 

Sekian, terima kasih.

-TAMAT-

Post a Comment

0 Comments