CUKAI NAIK, SUBSIDI DITARIK APA UNTUK RAKYAT?

Kutipan hasil Kerajaan:

2024: RM324.6 bilion
2025 (dijangka): RM344.1 bilion



Selepas beberapa langkah cukai seperti peluasan skop SST yang bermula hari ini Kerajaan dijangka mengutip lebih kurang RM20 bilion hasil tambahan tahun ini (2025) berbanding tahun lepas (2024).

Itu pun belum mengambil kira kemungkinan hasil akan lebih rendah kerana harga minyak dunia yang lebih rendah tahun ini secara purata berbanding tahun lepas yang akan mengurangkan hasil petroleum Kerajaan daripada cukai pendapatan petroleum, royalti dan duti eksport minyak mentah.


Jika kita menganggap kenaikan hasil Kerajaan tidak berubah, maka lebihan RM20 bilion itu pergi ke mana dan apa yang rakyat dapat sebenarnya?

Perbelanjaan subsidi untuk subsidi RON95, LPG dan pelbagai subsidi kepenggunaan yang lain juga menurun hampir RM10 bilion hasil daripada rasionalisasi subsidi yang sedang berjalan sejak tahun lepas.

Perbelanjaan subsidi Kerajaan:

2024: RM61.4 bilion
2025 (dijangka): RM52.6 bilion

Bermakna tambahan hasil campur dengan penjimatan daripada penyasaran subsidi ada RM30 bilion wang lebihan untuk Kerajaan.

Jadi apa sebenarnya yang meningkat dan yang dipulangkan kepada rakyat daripada RM30 bilion hasil tambahan yang Kerajaan kutip dan RM10 bilion yang Kerajaan jimat tahun ni?


Ini senarai apa yang rakyat terutamanya kumpulan-kumpulan sasar dapat tambahan daripada RM30 bilion lebihan hasil dan penjimatan perbelanjaan subsidi Kerajaan:

1. Bantuan tunai STR termasuk SARA meningkat daripada RM10 bilion (2024) kepada RM13 bilion untuk 8.9 juta penerima (naik RM3 bilion)

2. Peruntukan JKM untuk warga emas, OKU, miskin tegar ditingkatkan daripada RM2.4 bilion kepada RM2.9 bilion (naik RM500 juta)

3. Inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Rahmah termasuk inisiatif mengawal harga barangan asas naik RM200 juta kepada RM 1 biion (naik RM800 juta)

4. Kenaikan gaji penjawat awam daripada RM99.8 bilion kepada RM105.9 bilion (naik RM6 bilion)

5. Kenaikan pencen pesara Kerajaan daripada RM34.4 bilion kepada RM40.5 bilion (naik RM5 bilion)

6. Subsidi dan Insentif kepada pesawah dan nelayan naik daripada RM2.5 bilion kepada RM2.6 bilion (naik RM100 juta)

7. Dasar Gaji Progresif (dasar baru RM200 juta)

8. Penyelanggaraan dan naiktaraf sekolah seluruh negara naik daripada RM1.9 bilion kepada RM2.0 bilion (naik RM100 juta)

9. Biasiswa dan bantuan pendidikan sekolah (naik RM500 juta)

10. Biasiswa dan bantuan pendidikan tinggi naik daripada RM3.9 bilion kepada RM4.0 bilion (naik RM100 juta)

11. Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta masing-masing (naik RM600 juta)

12. Persediaan menghadapi musibah banjir naik daripada RM300 juta kepada RM582 juta (naik RM282 juta)


13. Membina dan menaiktaraf jambatan dan jalanraya seluruh negara naik daripada RM3.7 bilion kepada RM4.4 bilion (naik RM700 juta)

14. Menaiktaraf jalan-jalan luar bandar, desa, dan kampung daripada RM1.3 bilion kepada RM1.6 bilion (RM300 juta)

15. Pembinaan hospital baru naik daripada RM570 juta kepada RM740 juta (naik RM170 juta)

16. Ubahsuai dan naiktaraf kemudahan kesihatan KKM daripada RM40 juta kepada RM400 juta (naik RM360 juta)

17. Naiktaraf perkhidmatan kesihatan luar bandar naik daripada RM100 juta kepada RM550 juta (naik RM450 juta)

18. Peruntukan kepada MARA pendidikan, keusahawanan, latihan naik daripada RM2.4 bilion kepada RM2.6 bilion (naik RM200 juta)

19. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembekalan makanan berkhasiat dan susu kepada anak-anak keluarga susah daripada RM800 juta kepada RM900 juta (naik RM100 juta)

20. Pengurusan dan Pembangunan Hal Ehwal Islam daripada RM1.9 bilion kepada RM2.0 bilion (naik RM100 juta)

Jumlah pertambahan perbelanjaan yang terus kepada rakyat mencakupi golongan sasar dan kebanyakan rakyat Malaysia adalah berjumlah lebih kurang RM20 bilion di atas.

Ini tak termasuk perbelanjaan lain seperti perbelanjaan untuk keselamatan (Polis) dan pertahanan (tentera), belia dan sukan dan macam-macam lagi perbelanjaan yang mustahil untuk disenaraikan.

Tetapi yang penting daripada RM30 bilion yang Kerajaan kutip tambahan hasil dan penjimatan daripada penyasaran subsidi, RM20 bilion dibelanjakan kembali untuk rakyat.

Baki RM10 bilion separuhnya RM5 bilion digunakan untuk membayar pertambahan bayaran khidmat hutang atau kadar faedah ke atas hutang Kerajaan yang meningkat daripada RM50 bilion kepada RM55 bilion (naik RM5 bilion).


Dan akhirnya baki RM5 bilion digunakan untuk menurunkan defisit Kerajaan yang dijangka menurun daripada RM85 bilion pada tahun 2024 kepada RM80 bilion tahun ini (2025).

Jadi kalau orang tanya apa yang rakyat dapat inilah RM20 bilion yang rakyat dapat hasil daripada kenaikan cukai. 

Dan RM10 bilion penjimatan daripada penyasaran subsidi digunakan untuk membayar faedah ke atas hutang Kerajaan terkumpul sejak dulu dan untuk mengurangkan defisit Kerajaan.

Kalau nak tengok apa yang naik apa yang kurang, Kerajaan perincikan dalam dokumen bajet setiap tahun. Yang saya senaraikan hanya ringkasan untuk kefahaman orang ramai.

Sekian.