PENJAWAT AWAM DIINGATKAN HIDUP DALAM KADAR KEMAMPUAN SENDIRI

👉 ELAK TERBABIT DALAM RASUAH

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah mengingatkan penjawat awam di negeri ini dari peringkat bawahan hingga ke atasan supaya hidup dalam kadar kemampuan sendiri. 

Baginda Tuanku Sultan, bertitah peringatan itu adalah bagi mengelakkan penjawat awam di negeri ini terbabit dalam rasuah. 

“Semua penjawat awam hendaklah mengisytiharkan harta setiap tahun kerana ini adalah salah satu cara untuk mencegah pemilikan harta luar biasa.

“Pada masa sama, kerajaan boleh mengkaji  gaji segelintir kakitangan awam yang terlalu rendah kerana ini juga boleh menjadi faktor tekanaan hidup, terutama di bandar-bandar besar,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (15 Oktober). 

Baginda Tuanku Sultan, bertitah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut membangkitkan perkara sama dimana PDRM tidak akan berkompromi mana-mana pegawai dan anggota terlibat dengan salah guna kuasa atau perbuatan rasuah. 

DYMM Sultan Johor, bertitah penjawat awam di negeri ini perlu sentiasa menerapkan integriti tinggi yang mampu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap mereka. 

“Penjawat awam perlu hidup dalam kemampuan sendiri dan perlu ingat mana-mana penjawat awam hidup mewah hasil daripada rasuah tidak akan terlepas siasatan pihak berkuasa.


“Anda (penjawat awam) semua diperhatikan. Sudah semestinya, mana-mana penjawat awam menjalani gaya hidup mewah melebihi taraf kehidupan yang munasabah menimbulkan tanda tanya,” titah DYMM Sultan Johor.

#sultanjohor 
#royalpressoffice 
#johor