Batu Pahat : Polis menumpaskan kumpulan samun dikenali sebagai Geng
Kucing Merah ekoran penahanan enam ahlinya yang berusia antara 16 dan
39 tahun di sekitar Kulaijaya, 18 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata,
keenam-enam suspek ditahan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Kulaijaya.
"Dalam kejadian terbaru pada jam 3.35 pagi, 18 Januari lalu, geng
terbabit menceroboh masuk sebuah restoran sebelum melarikan wang tunai
serta rokok selain menyamun tiga pekerjanya.
"Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa baru selesai mencuci pinggan dan
mahu menutup restoran sebelum penjenayah yang bersenjatakan parang
tiba-tiba muncul.
"Penjenayah melarikan rokok di kaunter pembayaran serta wang tunai
RM2,000 milik restoran," katanya.
Menurutnya, pada masa sama, menyedari restoran berkenaan dilengkapi
kamera litar tertutup (CCTV) penjenayah turut merampas pita
rakamannya.
Din berkata, penjenayah yang bertopeng itu kemudian melarikan diri
dengan menggunakan dua kereta.
"Hasil siasatan, suspek mengaku memecah masuk dan menyamun pekerja dua
restoran di sekitar daerah ini.
"Lima suspek berasal dari Kulaijaya dan seorang lagi berasal dari
Jerantut, Pahang. Suspek yang berumur 16 tahun sudah tidak bersekolah.
"Taktik digunakan ialah meluru masuk ke restoran dengan bersenjatakan
parang sebelum melarikan diri dengan dua kereta," katanya.
Semua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397
Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata berkumpulan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02
Sumber : myMetro