Sehari dua ini viral isu curang yang dasyat melibatkan kepada suami orang dan katanya bini orang. Tapi ada yang menyatakan wanita itu bukan bini orang sebaliknya telah bercerai. Tak kisahlah yang mana satu betul.
Saya nak disclaimer siap-siap, saya tak nak ulas cerita curang ni siapa punca, siapa betul dan siapa salah.
Yang saya nak ulas adalah pertanyaan daripada beberapa orang yang bertanya, “Boleh ke kalau kita nak saman pihak ketiga yang kacau hubungan suami isteri di mahkamah?”
✅ Apakah ada undang-undang berkaitan kacauganggu rumahtangga dalam Islam di Mahkamah Syariah?
Ya, ada. Memang terdapat satu peruntukan undang-undang berkaitan dengan kacauganggu pihak ketiga dalam sesebuah rumahtangga orang Islam di Malaysia.
Di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, individu yang mengganggu keharmonian rumah tangga orang lain boleh berdepan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Hukuman itu diperuntukkan di bawah tiga seksyen enakmen berkenaan membabitkan Seksyen 32 iaitu memujuk lari, membawa pergi atau mempengaruhi seorang perempuan yang telah bersuami supaya meninggalkan rumah tangganya.
Ia turut merangkumi Seksyen 33 iaitu menghalang pasangan yang sudah bernikah dengan sah daripada hidup sebagai suami isteri dan Seksyen 34 iaitu menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan kepada pasangan atau keluarganya.
Hal yang sama juga diperuntukkan di negeri lain seperti di Pulau Pinang mengikut Seksyen 36, 37 & 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.
Saya percaya setiap negeri lain juga ada peruntukkan yang sama. Bezanya adalah kedudukan seksyen dan mungkin beberapa ayat yang sedikit berbeza.
✅ Siapa yang boleh Saman pihak ketiga tersebut?
Bila ia melibatkan kesalahan atau jenayah Syariah, maka pihak yang boleh mengambil tindakan saman ini bukan isteri atau suami itu, tetapi pihak Pendakwa Syarie.
Maka, apa yang boleh dilakukan oleh isteri atau suami itu? Mereka hanya perlu membuat aduan kepada pihak Penguatkuasa Agama Pejabat Agama Daerah di tempat yang mereka bermastautin sahaja.
Selebihnya, pihak berkuasa tersebut yang akan membuat Siasatan dan Menyerahkan laporan siasatan kepada pihak Pendakwa untuk membuka kes dakwaan atas kesalahan tersebut jika ada bukti yang cukup dan siasatan yang jelas.
✅ Ada ke kes kacauganggu rumahtangga ini di Mahkamah Syariah?
Setakat pengalaman saya praktis yang baru masuk tahun ke-11 dan segala pembacaan di dalam laporan kes Mahkamah Syariah, tak ada lagi kes jenayah ini dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Bukan sebab tak pernah wujud kes ini. Saya percaya ia ada, tetapi mungkin disebabkan faktor tertentu, kes sebegini tak ada di mahkamah.
Contohnya, mungkin tak cukup bukti atau juga mungkin kehendak suami atau isteri itu sendiri. Misalnya isteri dituduh oleh suami bahawa dia dibawa lari oleh ahli keluarga dan dipujuk untuk cerai. Namun hakikatnya, isteri itu sendiri yang nak lari daripada perkahwinan tersebut atas sebab tertentu.
❤️ Kesimpulan
Jadi, dalam kes yang viral ini, kalaulah persoalannya nak failkan saman supaya pihak yang kacauganggu itu dikenakan hukuman penjara atau apa-apa hukuman lain, ianya dimulakan oleh Pihak Pendakwa Syarie selepas siasatan daripada pihak Penguatkuasa Agama.
Tugas anda hanya buat aduan atau laporan ke Pejabat Agama sahaja. Tak lebih dari itu. Biasanya, jika bab curang ini, saya melihat ia bukan isu kacauganggu, tetapi lebih kepada suka sama suka.
Kalau ada yang menjual, dan dibeli oleh pihak satu lagi, dimana kacauganggu tersebut? Logik bukan?
p/s = Janganlah kita sebarkan aib orang khususnya melibatkan kepada kesalahan antara manusia dengan Allah. Sekalipun semua orang faham ada pihak yang sangat tersakiti, tetapi janganlah dibuka aib yang sebegini. Itu urusan mereka dengan Allah.
Kita yang menyebarkan secara meluas aib orang itu sehingga dikecam satu Malaysia, bimbang Allah akan membuka lebih besar aib kita kelak sama ada di dunia mahupun di akhirat. Ya, kita wajib benci dengan perbuatan zina atau curang ini, cuma haram juga bagi kita menyebarkan aib kesalahan manusia dengan Allah sebegini.
Takut kita merangkak saja mencari orang itu untuk mintak maaf di Padang Masyar yang dasyat kelak.
Wallahualam
Fahmi Ramli
Peguam Syarie
Anda ada pertanyaan? Boleh tanya disini
wasap.my/60197372389/NakTanyaSikit

0 Comments