[01/09/2025] – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyifatkan tafsiran jenayah khalwat di negara ini kabur serta membuka ruang kepada subjektiviti, berat sebelah dan penyalahgunaan budi bicara pihak penguatkuasa.
Menurut beliau, kebanyakan serbuan kes khalwat berlaku di lokasi mudah diakses golongan berpendapatan rendah seperti hotel bajet, dalam kereta atau kawasan awam.
“Sebaliknya, orang Melayu berada seperti ahli Parlimen atau menteri jarang sekali didakwa atas kesalahan khalwat kerana mereka mampu menyewa apartmen peribadi, hotel mewah atau membuat aturan yang lebih sulit.
“Inilah sebabnya khalwat dilihat sebagai kesalahan orang miskin, bukan kerana orang kaya tidak melakukannya tetapi kerana mereka tidak tertangkap. Apabila penguatkuasaan bersifat terpilih, ia gagal memenuhi prinsip kesamarataan di sisi undang-undang mengikut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut merujuk kes pasangan yang ditahan reman semalam selepas gagal membayar ikat jamin RM1,500 setiap seorang di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang. Menurut Zaid, jumlah itu mungkin kecil bagi golongan berpendapatan tinggi tetapi membebankan bagi peniaga kecil, pekerja kilang atau pelajar sehingga mereka terpaksa meringkuk dalam penjara, selain berdepan stigma sosial dan tekanan keluarga.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kesalahan khalwat dinyahjenayahkan (decriminalisation) kerana ia adalah isu moral peribadi antara individu dengan Tuhan, bukan sesuatu yang wajar membawa seseorang ke penjara. “Pemimpin berhaluan sederhana seperti Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) dan Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) tentu memahami perkara ini.
“Dekriminalisasi tidak akan melemahkan iman, sebaliknya membolehkan negara memberi tumpuan kepada masalah sebenar seperti keganasan rumah tangga, penderaan seksual dan eksploitasi,” katanya. Beliau menambah, jika matlamat undang-undang khalwat adalah mendorong akhlak baik, ia sepatutnya dilakukan melalui pendidikan, kaunseling dan penglibatan masyarakat, bukannya hukuman.
Malah, katanya, serbuan khalwat sering bergantung kepada pengintipan (tajassus) yang jelas dilarang dalam Islam. “Kesimpulannya, pendakwaan khalwat paling membebankan golongan miskin. Dekriminalisasi akan memulihkan keadilan dan kesaksamaan. Apa kata Azalina?” katanya.
#khalwat #islamispeace #terkini #marhaen #undangundangmalaysia
0 Comments