𝗕𝗨𝗞𝗜𝗧 𝗠𝗘𝗥𝗧𝗔𝗝𝗔𝗠, 26 Disember 2024 – Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, DCP Dato’ Mohd Alwi bin Zainal Abidin, telah mengadakan Lawatan Kebajikan terhadap Koperal (B) Abd Rahim bin Abdullah di kediamannya di Kubang Semang, Bukit Mertajam.
Koperal (B) Abd Rahim, 69 tahun, kini mengidap penyakit strok serta mengalami patah tulang paha dan pinggul susulan kemalangan pada awal tahun ini. Beliau memerlukan bantuan kerusi roda kerana tidak lagi mampu berjalan. Pesara ini tinggal bersendirian dengan bantuan adik kandungnya, Puan Norizan Abdullah, serta jiran-jiran terdekat.
Dalam lawatan tersebut, sebuah kerusi roda hasil sumbangan individu persendirian dan wang tunai daripada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) telah disampaikan kepada pesara berkenaan. Lawatan ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, tetapi juga untuk mempereratkan hubungan silaturahim antara PDRM dan pesara polis.
DCP Dato’ Mohd Alwi menzahirkan harapan agar Koperal (B) Abd Rahim diberi kesembuhan dan dipermudahkan segala urusannya oleh Allah S.W.T. Program seperti ini merupakan inisiatif penting bagi memastikan pesara yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara tidak dilupakan.
Program ini turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Pengurusan Pulau Pinang, ACP Razlam bin Ab Hamid; Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Supt Norazizi bin Saad; KBPD Seberang Perai Tengah, ASP Fahimah binti Ishak; serta Pegawai Kanan Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan Pegawai Rendah Polis dari Hal Ehwal Awam / Pesara Polis IPK Pulau Pinang.