Senarai pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia
Berikut adalah senarai pesawat tentera yang masih atau telah digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia.
SENARAI INVENTORI SEMASA
Pesawat Pejuang
18 x Sukhoi Su-30MKM
Sukhoi Su-30MKM TUDM di pertunjukan udara LIMA.
TUDM membuat tempahan untuk 18 buah pesawat Sukhoi Su-30MKM untuk digunakan dalam peranan penguasaan udara. TUDM mengkaji untuk mengeratkan kerjasama dengan Tentera Udara India yang menggunakan pesawat Su-30MKI (yang hampir sama dengan standard pesawat yang digunakan oleh TUDM) untuk mendapatkan maklumat dan pengalaman penggunaan dan pengurusan pesawat Sukhoi Su-30MKM ini. Pembelian pesawat Sukhoi Su-30MKM ini juga melibatkan perolehan persenjataan moden seperti peluru berpandu “jarak melangkaui pandangan” (BVR) dan “panduan radar aktif” seperti mana teknologi peluru berpandu AIM-120 AMRAAM. Pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM menggunakan peralatan avionik yang dibekalkan oleh Thales. Keupayaan Su-30MKM dipercayai menyamai model terbaru dari variasi Sukhoi Su-27 iaitu Sukhoi Su-35BM.
8 x Boeing F/A-18D Hornet
F/A-18 Hornet TUDM ketika upacara kemerdekaan.
Lapan buah pesawat F/A-18D Hornet dibeli untuk memberikan TUDM keupayaan menjalankan serangan maritim dan pelbagai cuaca, termasuk serangan waktu malam. Pesawat mempunyai keupayaan menggunakan bom dari siri Paveway dan peluru berpandu anti kapal Harpoon. Pesawat ini telah dinaiktaraf sehingga menyamai kemampuan pesawat F/A-18 Super Hornet Block I.
13 x Hawk 208
BAE Hawk 208 TUDM.
Di awal pembelian TUDM memiliki 16 pesawat BAE Hawk 208. Sejak dari awal pengoperasian pesawat Hawk 208 hingga kini, tiga pesawat telah terhempas dan hanya tinggal 13 masih beroperasi. Pesawat ini akan dinaiktaraf bagi seiring dengan kemajuan pesawat generasi terkini.[1]
4 x Hawk 108
Enam buah pesawat Hawk 108 dibeli bersama dengan pesawat Hawk 208. Sebuah pesawat jenis ini telah terhempas pada tahun 2017 dan telah mengorbankan dua orang juruterbangnya. Sebuah lagi terhempas pada tahun 2021 dan telah mengorbankan seorang juruterbangnya.[2] Pada masa ini empat buah pesawat ini masih beroperasi.[3]
Pesawat Pengangkut
4 x Airbus A400M
A400M TUDM ketika misi pengangkutan.
Perolehan pesawat Airbus A400M buatan Airbus menjadikan TUDM antara tentera udara yang mempunyai skuadron logistik terbaik di rantau ini. Dengan pesawat ini beban logistik yang boleh dibawa adalah lebih besar daripada pesawat C-130 Hercules serta jarak jangkau operasi pesawat ini juga lebih jauh daripada pesawat C-130 Hercules. Pesawat A400M ini digunakan TUDM sebagai pesawat pengangkut dan juga sebagai pesawat pengisian bahan bakar untuk pesawat lain di udara.
10 x C-130 Hercules
C-130 Hercules TUDM memikul beban misi pengangkutan udara.
Pesawat buatan Lockheed ini digunakan untuk pengangkutan taktikal termasuk pergerakan anggota antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia. Beberapa buah pesawat telah diubah suai dengan pemanjangan fiuslaj dilakukan oleh AIROD. Pesawat C-130 dipanggil Charlie dalam perkhidmatan TUDM.
4 x KC-130
Pesawat untuk pengisian minyak di udara daripada variasi pesawat pengangkut C-130 Hercules. Pesawat ini menjalankan tugasan pengisian minyak di udara untuk pesawat-pesawat TUDM menggunakan teknik “hose and drogue” seperti yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.
4 x CN-235
Pesawat ini menggantikan perkhidmatan pesawat DHC-4 Caribou yang telah bersara daripada perkhidmatan. Pesawat ini juga menjalankan tugasan latihan penerjunan payung terjun untuk 10 Briged Para dan Grup Gerak Khas di samping tugasan pengangkutan yang lain. TUDM membeli 8 buah pesawat jenis ini namun sebuah pesawat mengalami kecelakaan pada 2017 dan kini hanya 7 buah yang masih beroperasi.[4] Pada tahun 2019, TUDM mula menaik taraf 3 daripada 7 pesawat jenis ini kepada konfigurasi pesawat rondaan maritim lalu meninggalkan 4 buah dalam peranan pesawat pengangkut.
1 x Boeing Business Jet BBJ (VIP)
Pesawat 737-700 BBJ digunakan TUDM untuk penerbangan rasmi ketua-ketua kerajaan Malaysia. Pesawat pengembangan Boeing 737-700 ini boleh membuat penerbangan jarak jauh tanpa perlu singgah untuk mengisi minyak.
1 x Airbus A319 (VIP)
Pesawat ini boleh membawa VIP untuk mpenerbangan jarak jauh tanpa perlu singgah untuk pengisian minyak.
1 x Bombardier Global Express (VIP)
Pesawat ini boleh membawa VIP untuk penerbangan jarak jauh tanpa perlu singgah untuk pengisian minyak.
1 x Dassault Falcon 900 (VIP)
Pesawat pengangkutan eksekutif digunakan untuk pengangkutan VIP untuk lawatan-lawatan ke luar negara.
Pesawat Peronda Maritim
3 x CN-235
Pada tahun 2019, TUDM mula menaik taraf 3 daripada 7 pesawat jenis ini kepada konfigurasi pesawat rondaaan maritim lalu meninggalkan 4 buah dalam peranan pesawat pengangkut dan 3 buah dalam peranan rondaan maritim.[5]
3 x Beechcraft Super King Air B200
Merupakan pesawat rondaan maritim TUDM. Pesawat ringan buatan Beechcraft ini digunakan TUDM dalam meronda lautan Malaysia.
Helikopter
2 x UH-60 Black Hawk (VIP)
Helikopter UH-60 Black Hawk daripada versi S-70A digunakan untuk pengangkutan VIP dan dilengkapkan dengan tangki minyak luar untuk penerbangan jarak jauh. Ia juga digunanakan sebagai helikopter utiliti dan boleh dipasang persenjataan seperti M134 Minigun.
2 x Sikorsky AS61A-1 (VIP)
Pesawat buatan Agusta digunakan untuk pengangkutan VIP. Pengeluaran helikopter jenis ini telah dihentikan oleh Sikorsky dan hanya dikeluarkan di bawah lesen pengeluaran oleh Westland dan Agusta. Versi yang digunakan TUDM hampir sama dengan standard helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri dengan kelainan peralatan avionik sahaja.
12 x Eurocopter EC 725
Helikopter EC 725 ini dibeli bagi menggantikan helikopter S-61A-4 Nuri. Selain digunakan untuk bantuan kemanusiaan dan bencana, helikopter ini berkemampuan melakukan operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tempur.
5 x Eurocopter EC 120
Helikopter ini digunakan untuk tujuan latihan.
4 x AgustaWestland AW139
Pada tahun 2021, kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menyewa helikopter AgustaWestland AW139 sebagai mengisi kelompongan tugas yang ditinggalkan oleh S-61A-4 Nuri.
Pesawat Latihan
7 x Aermacchi MB-339
2 x Beechcraft Super King Air B200
21 x Pilatus PC-7/Pilatus PC-7 MkII
TUDM telah membuat tempahan dan telah menerima 44 buah pesawat Pilatus PC-7 Turbo Trainer II dari pembuat Pilatus dari Switzerland. Pesawat ini telah berkhidmat untuk latihan juruterbang di Pusat Latihan Penerbangan I (Pulatibang I) di Alor Setar (kini Kolej Tentera Udara). Sementara untuk latihan lanjutan pula, pesawat ini ditempatkan di Pusat Latihan Penerbangan II (Pulatibang 2) di Kuantan bersama-sama dengan pesawat Aermacchi MB-339. Sebilangan pesawat Pilatus PC-7 telah musnah akibat kemalangan. TUDM telah membuat tempahan untuk 10 buah pesawat Pilatus PC-7 MkII sebagai gantian kepada pesawat-pesawat yang telah musnah akibat terhempas ataupun kemalangan.
Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV)
3 x CTRM Aludra[7]
3 x CTRM Eagle ARV
TUDM menggunakan beberapa buah pesawat UAV dalam peranan peninjauan. Berkemungkinan akan digantikan dengan pesawat UAV buatan tempatan sepenuhnya.