Isteri yang dilaknat para malaikat ?



عن أبي هريرة رضي اللَّه عنه قال : قال رسول اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم : « إِذَا دعَا الرَّجُلُ امْرأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فلَمْ تَأْتِهِ فَبَات غَضْبانَ عَلَيْهَا لَعَنتهَا الملائكَةُ حَتَّى تُصْبحَ» متفقٌ عليه .وفي رواية لهما : « إِذَا بَاتَتْ المَرْأَةُ هَاجِرَةً فِرَاشَ زَوْجهَا لَعنتْهَا المَلائِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ ».

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w bersabda: “Jikalau seseorang lelaki mengajak isterinya ketempat tidurnya (dengan maksud menyetubuhinya), tetapi isteri itu menolaknya, lalu suami itu menjadi marah pada malam itu, maka para malaikat melaknati isteri itu sehingga waktu pagi.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalam riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim yang lain lagi, disebutkan:

“Rasulullah s..w bersabda: “Apabila seseorang isteri meninggalkan tempat tidur suaminya pada malam harinya, maka dia dilaknat oleh para malaikat sehingga waktu pagi.”

وفي روايةٍ قال رسولُ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم : «والَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا مِن رَجُلٍ يَدْعُو امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَتَأْبَى عَلَيْهِ إِلاَّ كَانَ الَّذي في السَّماءِ سَاخِطاً عَلَيْهَا حَتَّى يَرْضَى عَنْها » .


Dalam riwayat lain lagi disebutkan sabda Rasulullah s.a.w:
"Demi Zat yang jiwaku berada di dalam genggaman (kekuasaan)Nya, tiada seorang lelakipun yang mengajak isterinya untuk datang ke tempat tidurnya, lalu isteri itu menolak ajakannya, melainkan semua penghuni yang ada di langit - yakni para malaikat - murka pada wanita itu sehingga suaminya redho padanya.(memaafkannya)”

Dalam hadith-hadith di atas dijelaskan bahawa seorang isteri yang menolak ajakan suaminya untuk bersama tanpa ada alasan yang jelas, maka malaikat akan mengutuknya hingga pagi hari. Tentunya hal ini menunjukkan bahawa penolakan terhadap ajakan suami adalah perkara yang sangat tidak disukai oleh Allah s.w.t.

Menolak ajakan untuk bersama suami tentu dapat menyebabkan suami menjadi kecewa, membawa timbulnya konflik dalam rumahtangga dan hilangnya keharmonian. Dan akhirnya jika hal itu sering berulang dan menjadi kebiasaan, maka tentu dapat menimbulkan kebencian dan kemarahan di hati suami.

Beratnya ancaman tersebut hingga ia turut mengganggu urusan ibadah yang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda :

ثَلَاثَةٌ لَا تُرْفَعُ صَلَاتُهُمْ فَوْقَ رُءُوسِهِمْ شِبْرًا: رَجُلٌ أَمَّ قَوْمًا وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ، وَامْرَأَةٌ بَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَلَيْهَا سَاخِطٌ، وَأَخَوَانِ مُتَصَارِمَانِ

“Tiga orang yang tidak terangkat solat mereka melepasi kepala mereka walaupun sejengkal: seorang lelaki yang mengimami sekumpulan orang dan mereka membencinya, perempuan yang tidur dalam keadaan suaminya marah kepadanya dan orang yang memutuskan hubungan persaudaraan.” (Ibnu Majah)




Dan sudah pastinya apabila si isteri membahagiakan hati suaminya, ia akan menjadi jalan untuk membawanya ke syurga. Nabi s.a.w bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta'at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. (Ibn Hibban)

Namun di sana ada keringanan untuk menolak ajakan suami, antaranya disebabkan haid, dalam keadaan nifas, sakit, lemah disebabkan terlalu letih yang boleh membawa mudharat dan selainnya.

.
.
.

Hj Jafri bin Abu Bakar Mahmoodi
Kuliah Zohor
Kompleks Islam Darul Faizin
Kitab Riyadhussolihin
Bab Hak suami atas isteri
18 Oktober 2018