Download

Mencari ...
Setinggi2 penghargaan dan ucapan terima kasih buat semua rakan komuniti yang terus menyokong aktiviti KPTTLUS. terutama sekali buat Rakan Pengurusan Channel LUS & Rakan Moderator Channel LUS selanjutnya SEMUA rakan-rakan yang menggunakan Jaluran / Jaringan PTT Channel Lebuhraya Utara-Selatan. Sekian, Terima Kasih. ( 43650|[LUS]|airbort )
25 January 2013

Hari Jumaat dan Surah Al-Khafi

Mengambil gambar di Masjidilharam nampak biasa sahaja buat pengunjung. Jadi boleh lah mengenang-ngenang. Namun jika di Madinah kuat diingatkan bahawa di dalam Masjid Nabawi ia adalah larangan. Dari luar sahaja dibolehkan. Oh! Saya seperti lebih suka wajah langit di sana.....

Bertemu lagi dengan hari Jumaat. Sekarang dah petang Jumaat. Kalau masa zaman kecil-kecil dahulu terutama masa sekolah rendah, hari Jumaat ini selaku budak sekolah suka mengatakan ia hari pakai baju kurung. Ini sebabnya waktu itu dapat saya lihat cikgu-cikgu perempuan akan bersama-sama atau seolah-olah berpakat memakai pakaian kebangsaan ini. Jika yang memang bertudung, itu amat biasa. Namun bagi yang tidak bertudung pula, sedaya mungkin akan memperlihatkan keanggunan dengan fesyen masing-masing dan pastinya mereka kelihatan lebih sopan.

Namun yang lebih amat sopan pastinya yang 'menutup aurat'. Itu Jumaat saya masa anak-anak dululah. Hari yang mana bila saya melihat wanita dewasa yang gemar berpakaian 'skirt' labuh dengan 'blouse', berseluar panjang dan 'blouse' atau berkebaya ikut susuk tubuh menyarung baju kurung. Oh!!! apa jumudnya Jumaat kanak-kanak saya….

Namun kini saya dan kita mampu melihat Jumaat sebagai Penghulu Hari. Kita dikhabarkan Hari Kiamat bakal berlaku pada hari Jumaat dan dari situ kita mewujudkan rasa hati-hati pada setiap Jumaat. Mengenang semakin hampirnya kita pada Hari Penutup kehidupan dunia ini. Allahuakbar! Takut pula mengenangkannya. Terkini…saya melalui hari Jumaat dengan pengalaman yang baru dan indah juga. Ini sewaktu mengerjakan Umrah baru-baru ini. Mengapa?

Saya katakan bahawa mungkin itulah kelebihan bumi Mekah tersebut. Bila mana ia Tanah Suci dan manusia ke sana untuk menggandakan ibadah, yang banyak bertumpu pada ibadah khusus.

Pagi Jumaat minggu pertama di sana, terpana dengan bacaan imam pada solat Subuh. Sebijik macam dalam kaset. Tak pasti suara siapa. Tapi ada pernah dengar. Jika di sini, peluang untuk berjemaah lebih-lebih lagi di surau bagi saya biasanya tipis. Tak payahlah dihurai dengan alasan. Nama pun alasan. Pasti dapat difikir sendiri. Subuh itu, bila imam membaca surah As-Sajdah….memang jatuh asyik. Walau tak faham sepenuhnya maksud keseluruhan ayat dibaca imam.

Umumnya tahulah ia surah Perihal Sujud. Namun setiap surah ada lenggok dan nadanya tersendiri. Pilihlah surah mana anda suka dengan lenggok yang bagaimana pula. Lenggok anak dara tak masuk senarai....Lenggok bacaan imam pagi itu memang mengasyikkan. 30 ayat itu sekejapan rasanya. Namun itu terletak mukjizatnya Al-Quran. Ombak mampu disurutkan. Badai mampu ditenangkan. Api mampu disejukkan. Sesat mampu dikembalikan. Gelap mampu diterangkan. Lebih dari itu, yang kufur mampu disejahterakan(dengan NurIslam).

Itu mukjizat kekal Rasulullah (s.a.w), Nabi Tercinta kita Muhammad(s.a.w). Itu pagi yang amat baik menurut saya. Dua rakaat Subuh yang memang pendek tu, terasa lebih singkat. Itu Subuh Jumaat pertama saya di Masjidilharam….I like…

Berkunjung ke Mekah sememangnya tidak sama seperti melancung ke tempat-tempat lain. Ini juga yang diberi ingat oleh para Ustaz dalam sesi kursus juga mutawwif-mutawwif yang menunjukajar di sana. Ini juga wajar kita pegang teguh. Jika kita biasanya melancong dengan tujuan untuk berehat-rehat, merehatkan fikiran, melarikan diri dari tekanan dan bebanan kerja dan tugas harian atau rutin biasa. Ke Mekah pula harus dibezakan.

Tanah Haram itu bukan sengaja diberi nama begitu. Utamanya di sana adalah perlaksanaan ibadat-ibadat yang bertepatan dengan tuntutan Tuan Rumah. Solat berjemaah, solat-solat sunat, qiammullail, beriktiqaf di masjid(bagi lelaki utamanya), membaca al-Quran, bersedekah dan jika dapat… berpuasa amat sesuai. Di samping tidak diketepikan…ibadah Umrah dan tawaf sunat yang jadi tujuan asal kita ke sana yang tidak tertunai di tanahair.

Bukankah manusia yang ke sana telah mendapat jemputan dari Tuan Rumah. Jadi sebagai tetamu kepada yang sangat-sangat VVV…..IP, wajar kita menjaga adab-adab berkunjung kita. Seboleh mungkin menjaga kelakuan dan usah dibiar tersasar niat bertamu. Bermula dari detik hati kepada perlakuan zahir semua dalam hitungan Tuan Rumah.

Di sana juga ada yang menggelar bumi 'cash and carry'. Ini memang benar. Ini sungguh benar. Saya akui. Pengalaman rakan-rakan yang saya temui tak ketinggalan saya sendiri juga mengesahkan ini. Tidak untuk menakutkan, tetapi ia sebagai pesan memesan dan mahu mengajak diri dan sesiapa yang berniat ke sana untuk lebih berhati-hati. Mudah-mudahan dan InsyaAllah.

Bercerita perihal hari Jumaat itu ada kenangannya. Hah!!! Ini lagi satu kelainan. Wanita dibolehkan solat Jumaat berjemaah bersama-sama jemaah lainnya. Seronok bukan!!! Di sini wanita biasanya hanya solat Zohor sahaja. Pecah tradisi kita di sana. Lepas tu tak perlu lagi solat Zohor, kira terkecualilah. Walau bila khutbah dibaca saya tak faham dan cuma boleh faham bila terkeluar perkataan-perkataan mudah bermaksud seperti langit(as sama'), bumi(al ard) dan seketul itu dan ini…tak kisahlah….

Janji merasa juga bersolat Jumaat di sana. Pengalaman baru tu. Seperkara lagi hari Jumaat kita digalakkan membaca surah Al-Kahfi. Ini mengingatkan saya kisah saya pada salah satu pengalaman selepas Zohor minggu pertama saya. Mmmm…Selesai solat Zohor, perut teramatlah lapar namun sengaja melambatkan sedikit keluar dari masjid kerana elak bersesak. Jemaah kebiasaan memang ramai.…percayalah.  Saya lalukan membaca Al-Quran sementara menunggu untuk beberapa ketika jangkaan saya. Sayang juga masa untuk dibiar macam tu saja.

Sedang membaca…perasan juga ada seorang wanita berbadan besar perpakaian serba hitam yang biasa dipakai wanita Arab ada disekitar berdekatan saya. Asalnya dia duduk di atas kerusi. Biasalah di sana …waktu bersembahyang  ikutlah daya masing-masing. Ramai juga sembahyang dari atas kerusi dan kerusi roda juga. Duduk di bawah sahaja juga ada. Begitulah Islam dimudahkan untuk pengikutnya….Kita yang biasanya lupa atau melupakan kemudahan diberi untuk dan selalu jatuh pada memudah-mudahkan pula….

Wanita tadi tiba-tiba menghampiri saya. Asalnya melihat saya. Senyum dan kemudian mula menegur. Saya membalas senyum dan terus saja dengan bacaan. Dia kemudian melihat saya membaca di mana. Mengambil sebuah lagi Al-Quran tapi bersaiz besar. Saya membaca yang saiz sedang berwarna biru. Ada juga berwarna hijau. Saya tak pula kaji apa bezanya jenis-jenis al-Quran di rak di sana.  Wanita itu lalu mencari apa yang sedang saya bacakan.

Surah Al Mu'minuun seingat saya. Dalam mencari-cari di dalam naskah pegangannya…macam susah nak jumpa. Saya hairan juga. Kemudian saya ternampak tulisan macam dah jumpa…tapi silap pula itu surah Al-Mu'min. Hah!!! Saya selamba bila ditegur sambil beliau menunjukkan kesilapan saya. Saya sedar….saya yang keliru di situ. Agak lama membelek-belek…dia serius sahaja terus mencari dan saya hanya melihat.

Akhirnya dia mencari mengikut kaedah lain….lihat pada permualaan Juzuk saya, perhatikan ayatnya bagaimana, dipadankan dalam naskah ditangannya dan terus kepada ayat berapa sedang saya baca. Bila dijumpai….disedari rupanya naskah pegangannya menggunakan daftar nama surah berbeza di bahagian muka carian. Dia seperti mengomel-ngomel dalam bahasanya, mempersoalkan naskah ditangannya, selain seolah beritahu saya untuk membuat carian tidak berdasarkan cara awal tadi, sebaliknya melihat pada ayat awalan pada Juzuk tersebut seterusnya mencari ayat ke berapa sedang dibaca. Lebih elok katanya mengingat sedikit ayat terakhir yang kita sedang baca.

Saya suka dengan maklumat beliau sebab….sepanjang membaca di sana memang saya kerap terlupa berhenti pada ayat mana dan terpaksa mengulang ke belakang untuk pastikan saya tak terlepas mana-mana ayat. Maklum tak boleh menanda di naskah itu. Itu harta waqaf di masjid. Lagi pun kita tidak solat di satu tempat sahaja dan tidak mengambil naskah yang sama untuk dibaca. Main ingat-ingat jer mana  berhenti.

Tidak selesai di situ wanita separuh umur itu lalu membuka surah Al-Kahfi dan seolah memberitahu dia sedang di situ. Saya diamkan dan melihat saja wajahnya. Tiba-tiba dia mengajak saya membaca secara bergilir gilir dengannya(semua ini diajukan dalam bahasa Arab…Hah! jadi laksana ayam saya usaha fahamkan bahasa siitik pula…tapi ini lumrah saya dan orang lain juga di sana…kita berbual dalam bahasa masing-masing…pelik tapi benar).  Dalam keadaan menahan lapar.…ada wujud serba salah juga.

Nak balik merawat perut atau tunggu. Entah mengapa, atas dasar cuba berbudi bahasa mungkin saya katakan pada diri…."Tak baiklah pulak nak ditolak…bukan diajak buat benda tak baik….membaca Quran….tiada salah…lagi pun mungkin dia nak mengisi masa dengan berteman secara begitu". Ini kerana sewaktu saya mempersoal niat wanita tersebut di dalam hati kecil…beliau didatangi dunia kanak-kanak berpangkat cucu, membawa minuman untuknya. Tidak berapa lama kemudian datang pula seorang lelaki membawa sesuatu padanya. Dia mengabarkan itu suaminya. Beliau memulakan bacaan dan bergilir dengan saya bila saya di suruh.

Bacaan lancar. Saya ada ditegur pada satu tempat yang saya mungkin keliru di situ. Bila sampai pada kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir, saya lantas disoal sama ada tahu perihal kisah tersebut. Di sini dia tahu saya sukar faham maksudnya lantas menanyakan apa saya tahu berbahasa Inggeris. Mengangguk saya dan dia terus berbahasa Inggeris dengan lidah Arabnya. Dia seperti menghuraikan kisah tindakan-tindakan Nabi Khidir yang dipersoalkan Nabi Musa dan pengajaran ayat tersebut.

Tak dinafikan ada mendengar kisah itu walau tak ingat sepenuhnya. Saya terus mengangguk-angguk dan seperti berusaha 'refresh'. Bacaan bergilir diteruskan menurut rentak wanita Arab tersebut dan ditutup dengan bacaan dari dia juga. Lantas saya perhatikan sebelum habis membaca dia menutup Quran dan membaca secara hafaz. Lalu saya tanya…apa dia menghafal ayat tersebut. Dia katakan bahawa amat baik menghafaz 10 ayat pertama dan 4 terakhir surah tersebut bagi menguat daya ingatan. Sebelum bermula dia telah juga mengabarkan bahawa surah al-Kahfi tersebut baik dibaca pada setiap Jumaat dan pada waktu Dhuha. Sebelum ini saya tahu baik dibaca pada 
 Jumaat dan pada waktu Dhuha… adalah maklumat baru untuk saya. Ok juga tu….

Sehabis sahaja….saya amat lega dan terus ingat pada perut yang lapar kembali. Saya meminta izin mahu pulang dan katakan mahu makan sebab sudah amat lapar. Saya tinggalkan wanita itu sendirian. Namun sebelum pergi dia sempat menyoal sambil tersenyum lagi akan nama saya. Selepas menjawab, dia lantas memperkenalkan namanya…."My name is Hope…. In Arab is Amal…. Ain Min Lam(dia mengeja)"….Saya meminga-minga sambil bersoal-soal sendirian.

Hope itu harapan….Amal itu beramallah....amalan….Saya pulang dengan terfikir-fikir juga…..Mungkin itu terjemahan dia di mana tak sama dengan kamus saya yang biasa…..sudahnya saya ringkaskan pemikiran...kalau nak 'berharap' mesti 'beramal'. Jika tidak harapan kita mungkin kosong saja.....Apa pun saya macam masuk kelas khas hari itu. Kelas lain dari yang lain gamaknya…..

Selepas bercerita panjang lebar….kita mahulah pada intipatinya. Surah Al-Kahfi memang dikatakan 'coverage' untuk seminggu. Perihal fadhilat boleh dicari dengan carian atau melalui buku-buku di pasaran. Namun nak raih yang itu mesti dimula dengan membaca. Selepas membaca, mesti konsisten pula. Selain mencari-cari makna mengambil tahu tafsirnya dan melazimi serta meyakini keseluruhannya. InsyaAllah kita bakal dapat manfaat bersama…Mudah-mudahan….Jom kita usaha membaca….

Sumber : http://adillaharun.blogspot.com


Terima kasih kerana sudi memberikan komen anda di sini. Selamat berkerjasama. Hati-hati memandu & Selamat Memandu.

0 komen:

Post a Comment

Terima kasih di atas kesudian anda menaip komen di sini . . .